Followers

Thursday, April 30, 2015

Memahami Apa Itu Anxiety Disorder


Anxiety Disorder (Memahami Gangguan Kebimbangan)

Kebimbangan berbanding gangguan kebimbangan

Kebimbangan adalah emosi biasa yang kita alami bila berdepan dengan keadaan yang tidak tentu atau berbahaya. Kita berasa bimbang bila kita mengalami situasi yang menekankan seperti kehilangan kerja, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, atau menjelang peperiksaan.
Rasa takut akan timbul bila ancaman tersebut lebih hampir dan lebih mudah dikenali. Contohnya, bila melihat ke bawah dari tebing tinggi atau bila diserang oleh anjing menderam yang besar. Takat kebimbangan yang tertentu ada baiknya kerana ia dapat meningkatkan prestasi kita dan membantu kita mengendalikan masalah yang sedang dihadapi.
Gangguan kebimbangan berlaku bilamana kebimbangan menjadi begitu teruk dan berpanjangan sehingga ianya mula mengganggu kebolehan kita untuk mengendalikan aktiviti seharian. Gangguan kebimbangan adalah jenis gangguan mental yang paling kerap berlaku. Kebanyakan orang tersalah tafsir gangguan ini dan berpendapat individu-individu yang terbabit boleh mengatasi gejala-gejala tersebut melalui tekad semata-mata. Mengharapkan gejala-gejala ini akan hilang begitu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah tersebut tetapi rawatan dapat membantu.
Gangguan Kebimbangan Am (GAD) adalah satu tekanan dan kegelisahan kronik yang diperbesarkan walaupun tiada apa yang mencetuskannya. Orang yang mengalami GAD akan sentiasa menunggu berlakunya bencana, gelisah secara berlebihan berkenaan kesihatan, wang, keluarga atau kerja. Mereka susah untuk berehat dan tidak dapat mengenepikan rasa ambil tahu mereka walaupun mereka sedar bahawa kebimbangan mereka tidak rasional. Kesusahan mereka akan diikuti oleh gejala-gejala fizikal terutamanya menggeletar, gerenyetan, ketegangan otot, sakit kepala, meragam, berpeluh atau berasa panas secara tiba-tiba.
Mereka akan berasa seperti hendak pitam atau sesak nafas dan mungkin rasa mual atau perlu pergi ke tandas dengan lebih kerap. Selalunya kerosakan yang dikaitkan dengan GAD adalah sederhana dan mereka yang mengalami gangguan ini tidak akan berasa begitu tersekat dalam persekitaran sosial atau semasa bekerja. Bagaimanapun jika ianya teruk, maka GAD boleh melesukan, yang mengakibatkan susah melakukan aktiviti-aktiviti harian yang mudah sekalipun.
Orang yang mempunyai gangguan panik mempunyai perasaan gerun yang menimpa secara tiba-tiba dan secara berulangan tanpa sebarang amaran. Mereka tidak akan dapat menjangka bila sesuatu serangan akan berlaku dan mungkin akan mengalami satu kebimbangan yang tenat di antara setiap episod/kejadian. Mereka sentiasa khuatir dalam memikirkan bila dan di mana serangan yang seterusnya akan berlaku. Di selang serangan, terdapat satu perasaan khuatir yang sentiasa wujud secara berterusan berkenaan serangan berikut yang boleh datang pada bila-bila masa.
Bila serangan panik melanda, jantung muai berdebar dengan kuat dan pesakit akan berasa lemah, pitam, berpeluh atau rasa gayat. Tangan mereka mungkin berdenyut-denyut sedikit atau rasa kebas dan mereka akan berasa panas atau kesejukan. Ketidakselesaan dada, rasa seolah-olah muka ditekap, satu perasaan tidak realistik, ketakutan terhadap malapetaka yang akan datang atau kehilangan kawalan juga mungkin wujud. Orang yang mengalami gangguan ini benar-benar percaya bahawa beliau sedang diserang penyakit jantung atau strok, menjadi gila atau hampir maut. Walaupun kebanyakan serangan berlanjutan selama beberapa minit, kadang-kala ianya berlanjutan sehingga sepuluh minit. Dalam kes-kes tertentu walaupun yang jarang berlaku, serangan tersebut boleh berlanjutan sepanjang satu jam atau lebih.
Gangguan panik selalunya diikuti oleh keadaan-keadaan seperti kemurungan atau penagihan alkohol, dan akan berkembang menjadi satu fobia. Hidup sesetengah orang akan menjadi begitu tersekat. Mereka akan mengelak sebarang situasi yang boleh membuat mereka tidak berdaya jika satu serangan panik menimpa. Apabila hidup mereka menjadi begitu tersekat oleh gangguan tersebut iaitu yang terjadi kepada satu pertiga daripada orang yang mengalami gangguan panik, keadaan ini dikenali sebagai agorafobia (gerun lapang).

No comments:

Post a Comment